Pemuda OKU berbasikal untuk laung azan, Hafizh Syahrin hadiah motosikal
Beberapa hari lalu, kisah pemuda lembam Adam Johari Azhar tular di media sosial mengayuh basikal sejauh lebih dua kilometer (KM) dari rumahnya bagi melaungkan azan di sebuah surau yang terletak di Gopeng, Perak.
Terbaru, bintang sukan permotoran negara Hafizh Syahrin bersyukur dapat menghadiahkan sebuah motosikal Modenas Kriss MJ110 kepada pemuda berkenaan.
Menurut bintang berusia 26 tahun itu, niatnya hanya ingin membantu Adam yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) namun tetap rajin berulang-alik bagi melaungkan azan setiap solat lima waktu.
“Alhamdulillah, Terima kasih kerana bantu Apis untuk memberi sumbangan kepada Adam yang tak sempurna macam kita
“Tapi selalu pergi ke surau sejauh tiga KM untuk azan lima waktu. Kita yang sempurna ni pun belum tentu berbuat demikian. Mencari ketenangan dan saham akhirat. InsyaAllah amin,” tulisnya di Instagram.
Tindakan murni bekas pelumba MotoGP itu menerima pelbagai reaksi positif netizen yang turut tumpang gembira dan mengucapkan syukur selain mendoakan agar Hafizh terus dimurahkan rezeki.