Ramai Tertanya2 Siapa Sebenarnya Pemuda OKU Kayuh Basikal 2KM Setiap Hari Untuk Laung Azan di Surau
” Niat Adam buat semua ini ikhlas kerana Allah,”
Demikian jawapan ringkas Adam Johari Azhar, 24, pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) lembam yang setiap hari mengayuh basikal sejauh lebih dua kilometer dari rumahnya di Taman Kinta di Gopeng untuk melaungkan azan di Surau Kampung Tersusun Kopisan.
Kisah Adam sebelum ini tular di Facebook kerana kesungguhannya melaungkan azan pada hampir setiap waktu solat sepanjang Ramadan lalu.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia hanya melakukannya secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
” Sebelum ini Adam selalu azan dan ada juga orang lain yang azan, tetapi semasa bulan puasa daripada Subuh hingga Isyak Adam datang untuk azan.
” Selalunya naik basikal dan kadang-kadang naik motor, walaupun hujan lebat Adam datang juga nak laungkan azan,” katanya ketika ditemui wartawan HM di surau berkenaan.
Adam berkata, dia berbuka dengan bekalan yang sudah disiapkan oleh ibunya dan selepas itu pulang ke rumah untuk menyambung solat terawih berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, selain melaungkan azan dia secara sukarela juga membantu membersihkan tandas atau ruang wudhuk di surau.
” Memang buat seikhlas hati semata-mata kerana Allah, kalau ada yang kotor Adam bersihkan seminggu sekali,” katanya sambil memaklumkan pernah sekejap bekerja mencuci longkang dan menjadi siak di Masjid Gopeng berdekatan.
Ibu ceritakan pasal Adam
Ibunya, Mariam Ramli, 47, berkata, anaknya seorang yang sangat aktif sebelum mengalami demam dan sawan tarik ketika berusia tujuh tahun.
Katanya, dia bersyukur dalam keadaan anaknya yang mempunyai kekurangan tetapi diberi rezeki menjadi muazzin.
” Adam sering memintanya mengejutkan bangun kerana dia bimbang terlewat untuk pergi ke surau untuk melaungkan Azan.
” Sebagai ibu kadang-kadang saya rasa sebak dengan semangatnya kerana dia nekad mahu pergi azan tidak kira panas, hujan atau petir,” katanya.
Katanya, dia yang bekerja gaji harian mencuci ayam di Kolej Matrikulasi Gopeng hanya bergantung kepada sumber kewangan sebanyak RM500 duit permohonan KWSP yang dikeluarkan dan duit yang dihantar adik-beradik dan anak.
Adam sendiri sukarela, kata Pengerusi surau
Sementara itu, pengerusi surau berkenaan, Mohd Hasri Hassan berkata, Adam sudah mula melaungkan azan di surau itu sejak 2018.
” Dia secara sukarela datang ke sini dan saya juga menggalakkan dia menjadi muazzin bagi menggantikan datuknya, Hasnan Hadon yang sudah puluhan tahun menjadi muazzin di surau ini,” katanya.
Mohd Hasri berkata, berkemungkinan ada pihak yang mempertikaikan berkenaan status Adam yang lembam untuk melaungkan azan.
” Namun, bagi saya sebenarnya ia tiada isu kerana Adam masih lagi boleh berfikir, kadang-kadang mungkin dia laungkan azan lambat sedikit tetapi ianya tidak menjadi masalah.
” Saya selalu memberitahu Adam agar tidak mengambil kisah dengan cakap-cakap orang dan sering memberitahu dia Azan pahalanya besar,” katanya.
Menurutnya, sejak awal lagi Adam juga sudah mengetahui keadaan surau dan Adam sendiri sukarela mahu menjadi Muazzin.
” Saya sudah memaklumkan padanya bahawa surau kita ini kecil dan sumber kewangan terhad serta tidak menjanjikan sebarang imbuhan, jadi terpulang kepada sesiapa yang mahu bersedekah padanya,” katanya sambil memaklumkan termasuk Adam hanya tiga orang yang berjemaah ketika PKP.
Katanya, pihaknya mengambil sudut positif daripada berita yang tular dan mengalu-alukan kepada pihak yang mahu menghulurkan bantuan kepada kepada Adam yang dikategorikan daripada keluarga asnaf
p/s: Semoga kisah dan niat baik pemuda ini menjadi sumber inspirasi kepada kita semua
Apa kata anda? Kongsikan bersama kami
sumber: limauais. pw