Bebas Covid-19! PM & pegawai2 selesai kuarantin, kembali bertugas esok
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sejumlah pegawai kerajaan yang mengadakan pasca mesyuarat Kabinet pada 22 Mei lalu disahkan bebas jangkitan Covid-19 dan akan kembali bertugas esok.
Memetik laporan BH Online, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan ujian saringan yang dijalankan pada hari ke-13 semalam didapati juga negatif seperti sebelum ini.
“Hari ini sebenarnya hari ke-14 daripada pertama kali mereka dikenakan pengasingan dan kuarantin. Kami sudah mengambil calitan dan semua ahli mesyuarat pasca Kabinet itu didapati negatif jangkitan.
“Esok mereka boleh memulakan kerja di pejabat dan sebagainya. Bagi pegawai yang sebelum ini didapati positif…
“…keadaannya sudah semakin baik dan ujian calitan yang dilakukan mendapati ia memperoleh keputusan negatif,” katanya pada sidang media harian Covid-19 petang tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri dan sejumlah pegawai kerajaan tersebut menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di rumah selepas salah seorang pegawai dikesan positif Covid-19.
Sumber : Rafidah Mat Ruzki dan Zanariah Abd Mutalib (BH Online)