2 tahun menjanda, Nonny Nadirah menangis dilamar kekasih

Selepas dua tahun berpisah dengan bekas suami, penyanyi dan pelakon Nonny Nadirah mengakui sukar untuk menerima lelaki istimewa bagi mengisi kekosongan hatinya.
Tetapi kehadiran pelakon, Niezam Zaidi disifatkan berjaya mengubah sisi hidupnya sejak setahun lalu selepas lelaki tersebut meluahkan hasrat menjadikan dirinya sebagai isteri sebelum penghujung tahun ini.

Menurut pemilik nama Nonny Nadirah Zainuddin itu, dia menangis membaca pengakuan ‘teman tapi mesra’ dimana Niezam berhasrat membawa hubungan mereka kepada ikatan yang halal.
“Sebelum ini, Niezam pernah bertanya soal kahwin, tetapi saya buat tak tahu dan ingat hanya main-main. Cara bertanya ketika itu seperti berseloroh, jadi saya tak fikir serius.
“Niezam bertanya lagi, baru-baru ini. Apa yang saya tak sangka, dia nak minta izin dan tanya Mama untuk membawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Saya hanya mengiyakan.
“Saya tak duga, Niezam keluarkan kenyataan mahu melamar. Saya memang terkejut dan menitiskan air mata membaca kenyataannya. Tak sangka, dia berani dan bersungguh-sungguh memaklumkan hal ini satu Malaysia,” katanya menerusi laporan BH Online.

Pelakon berusia 30 tahun itu berkata, dia terharu dengan kejujuran lelaki tersebut malah menangis dalam kesyukuran ketika solat selain turut berkongsi perkara berkenaan dengan ibunya.
“Akhirnya, ada lelaki yang boleh menerima saya dan status sebagai ibu tunggal. Apa yang saya inginkan, Niezam boleh sayang saya kerana Allah SWT. Saya nampak kesungguhannya untuk tidak mempersia-siakan saya,” ujarnya.

Selain itu, pelakon drama Istikharah Cinta itu juga berharap agar urusan mereka berdua dipermudahkan dan hubungan tersebut bahagia sampai ke syurga.
Sumber : BH Online (Zaidi Mohamad)