Rakyat selesa dengan cara Perdana Menteri hari ini
Beberapa hari lalu, situasi politik menjadi hangat selepas Pakatan Harapan (PH) bercadang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagi Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ahli politik perlu berlaku ihsan kepada rakyat apatah lagi dengan keadaan pandemik Covid-19 yang mencabar ketika ini.
“Keadaan rakyat pada ketika ini sangat tertekan dan terbeban, kemelesetan ekonomi, kejatuhan harga minyak dunia, hilang peluang pekerjaan, dan terpaksa bergadai harta benda demi kelangsungan hidup.
“Berlaku ihsanlah kepada rakyat agar kerajaan dan Perdana Menteri dapat memberi fokus kepada agenda rakyat, bukan agenda politik peribadi sesetengah pihak,” katanya menerusi laporan Harakah Daily.
Menurut beliau, rakyat mahu pemimpin yang boleh memerintah negara ketika krisis dimana terbukti kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu menangani krisis dengan berjaya.
“Di saat negara berkemungkinan akan menghadapi gelombang baru Covid-19, mengapa segelintir ahli politik PH seolah-olah rakus mendambakan kuasa tanpa memikirkan implikasi kepada rakyat dalam situasi genting semasa?,” ujarnya.
Beliau juga menyeru pihak pembangkang memberikan fokus, masa dan usaha gigih terhadap rakyat di kawasan masing-masing.
“Masa yang diberikan selama 22 bulan PH memerintah Malaysia telah dipersia-siakan dengan janji harapan palsu yang ditabur. Masa kalian semua telah tamat di saat Perdana Menteri PH meletak jawatan…
“…dan meranapkan kerajaan PH itu sendiri. Kerajaan PN ditubuhkan demi kelangsungan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.
Sumber : Harakah Daily
Read more: Rakyat selesa dengan cara Perdana Menteri hari ini https://ohmymedia.cc/rakyat-selesa-dengan-cara-perdana-menteri-hari-ini