20 Tahun Jalani Hukuman Penjara, Banduan Berjaya Khatam Al-Quran 160 Kali
Manusia memang tidak akan pernah lari daripada berbuat kesilapan. Namun Tuhan itu maha penyayang dan pengasih, tidak kiralah sejahat mana pun kita dahulu, jika benar-benar bertaubat maka pintu keampunan terbuka luas buat hambaNya.
Seperti kisah seorang banduan ini, yang hanya mahu dikenali sebagai Awie, berusia 49 tahun, telah menggunakan masanya di penjara untuk mendekatkan diri dengan Allah.
Awie telah dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat atas kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma’unah pada 2000.
Tersilap langkah, hadapi hukuman penjara sepanjang hayat
Dia yang ditemui di penjara Marang, mengakui menyertai Pertubuhan Seni Ilmu Dalam Al-Ma’unah pada Disember 1999, dengan niat mahu mendalami ilmu agama dan perubatan Islam pada awalnya.
Akan tetapi, dia tidak menyangka tindakannya memasuki kumpulan tersebut telah menjerumuskan dirinya di dalam kegiatan membawa kepada keganasan.
Hanya ibadah membuatkan hati tenang
Terpaksa menerima hakikat perlu menghabiskan sisa-sisa hidup di penjara, Awie berkata amalan agama sahaja yang boleh membuatkan hatinya tenang dan menerima segala takdir yang ditetapkan Allah dengan hati yang terbuka.
“Pada mulanya tertekan juga sehingga boleh menjadi gila cuma bernasib baik kerana masih mengamal agama, solat dan membaca al-Quran…”
Khatam Quran 120 kali sepanjang jalani hukuman
Selama 20 tahun menjalani hukuman penjara, Awie telah berjaya khatam Al-Quran sebanyak 160 kali. Malah, apabila tiba bulan Ramadan, dia telah khatam hampir tiga kali.
“Di penjara saya hanya menghabiskan masa dengan menjalani aktiviti mengukir kayu dan beribadat…”
Bagaimana pun, jauh di sudut hati Awie, dia mengharapkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan majlis pengampunan, agar dia dapat hidup bebas dan dapat kembali ke pangkuan keluarganya.
“Sekarang sudah berusia 49 tahun dan jika dibebaskan masih sempat untuk membina kehidupan sendiri termasuk berumah tangga…”
Semoga satu hari nanti ada sinar baru buat saudara Awie, diharapkan Awie terus istiqamah dan janga pernah berhenti berdoa kepada yang Maha Esa.
Sumber : Berita Harian