Terkeejut Penduduk Kuala Terengganu Apabila Terpapar Awan yang Berbentuk Kalimah Allah SWT
“Bersyukur dan berasa sangat bertuah dapat melihat kebesaran Allah dan terus berdoa mana tahu malam lailatulqadar,” kata Mohd Nor Firdaus Ibrahim.
Mohd Nor Firdaus, 34, dari Kampung Kuala Belara, Manir antara individu yang melihat awan berbentuk kalimah Allah di langit ketika menjalankan tugas di Pasar Borong Gong Pauh, Wakaf Mempelam, di sini, awal pagi tadi.
Kalimah Allah yang jelas terbentuk di langit kira-kira jam 3 pagi itu menjadi tular di media sosial sehingga ada yang mengaitkan peristiwa itu dengan malam lailatulqadar yang berlaku sekali pada Ramadan.
“Sebelum itu, saya sedang melakukan rondaan di pasar berkenaan dan tiba-tiba saya melihat awan yang berbentuk kalimah Allah di langit.”Ketika itu tidak ramai lagi pengunjung di pasar itu dan kejadian itu berlaku sangat singkat sehingga tidak semua orang sempat merakam gambarnya.
“Mungkin kurang daripada lima minit awan itu terbentuk kalimah Allah sebelum ia dibawa angin. Pengalaman yang sangat bermakna kepada saya sepanjang menyambut Ramadan, melihat kebesaran Allah dan saya terus berdoa,” katanya.
Mohd Nor Firdaus yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, dia tidak berani untuk mengaitkan kejadian itu dengan malam lailatulqadar.
“Memang kalimah itu dilihat pada malam Jumaat dan pada Ramadan tetapi ia tidak berlaku pada 10 akhir Ramadan. Bagaimanapun kejadian itu tetap memberi keinsafan dan ingatan kepada saya terhadap kebesaran Allah,” katanya.
Beliau sebelum itu meminta rakan setugasnya merakam kejadian itu menggunakan telefonnya yang lebih canggih berbanding telefon miliknya.“Imej kalimah itu nampak lebih jelas di langit apabila dirakam menggunakan telefon bimbitnya,” katanya.
Sumber:bhharianmetro.com