‘Mat Kilau’ Kenapa Ada Segelintir Ahli Sejarah Yng Tk Percaya Dengan Kisah Kebangkitanya..Ini Cerita Sebenar..

 


Filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof baru saja keluar pada minggu lepas. Nampaknya, ramai kagum dan puas hati dengan filem tu sampaikan ramai orang datang pawagam dengan mengenakan pemakaian tradisional Melayu.

Baru-baru ni, kita dikhabarkan bahawa filem epik, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” arahan Syamsul Yusof sudah hampir siap dan bakal menemui penonton tak lama lagi. Sebenarnya, penggambaran filem ini dah lama bermula iaitu sejak tahun 2018 lagi, tapi berdepan dengan pelbagai masalah yang tak dapat dielakkan sehingga terpaksa ditunda penggambarannya.

Dengan perkembangan terbaru ni, nampaknya kita tak lama lagi dapatlah menonton kisah perjuangan pahlawan Melayu yang selama ini kita kenal melalui kajian sejarah dan dokumentari saja.

Dikhabarkan filem ni menelan kos sekitar RM5 juta. Imej dari KhairulZaman 1988

Tapi, korang tahu tak kisah Mat Kilau juga berdepan dengan pelbagai kontroversi, khususnya selepas kemunculan seorang lelaki yang mendakwa dirinya Mat Kilau pada Disember 1969. Walaupun, jawatankuasa khas selepas itu mengakui lelaki berkenaan sebagai Mat Kilau, masih ada ahli sejarah yang belum dapat diyakinkan dengan perkara itu.

Oleh itu, SOSCILI kali ni akan bercerita tentang perjuangan Mat Kilau dan mengapa wujudnya rasa kurang yakin terhadap pengakuan tersebut.

Dianggap penderhaka British, Kampung Mat Kilau dibakar!

Mat Kilau pada Disember 1969. Imej dari Utusan Online.

Dalam perjalanan sejarah Malaysia, tak dapat sama sekali kita melupakan kisah perjuangan menentang penjajah oleh pahlawan-pahlawan Melayu dahulu. Antara tokoh berkenaan termasuklah Mat Kilau anak kelahiran Kampung Kendondong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Nama Mat Kilau bukanlah asing di Pahang, kerana beliau juga adalah anak kepada seorang pahlawan Pahang, Imam Rasu atau Tok Gajah.

Menjelang tahun 1890-an, penentangan terhadap British mula membara akibat tindakan penjajah yang mula mengambil alih tugas para pembesar negeri yang dilantik. Hal itu termasuklah dalam soal memungut cukai dan pelantikan Residen British yang mengurangkan kuasa Sultan. Ia sekaligus memberi kesan kepada pembesar Pahang seperti Tok Gajah dan Datuk Bahaman.

Bersama-sama dengan tokoh-tokoh Pahang ini, maka bermulalah gerakan penentangan Mat Kilau terhadap British. Antara usaha gerakan Mat Kilau termasuklah mengarahkan pengikut-pengikutnya memotong talian telegraf bagi menyukarkan perhubungan antara para pegawai British.

Pihak British kemudiannya cuba memujuk Mat Kilau, tapi tak dihiraukan olehnya dan terus melakukan penentangan. Perkara ni membuatkan British menggelarkan Mat Kilau sebagai ‘penderhaka’ dan mula memburunya. Kemuncak kekejaman British terbukti apabila bertindak membakar kampung halaman Mat Kilau.

Hal ni memaksa Mat Kilau untuk terus mengasingkan diri dan hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sehinggalah pada Oktober 1895 apabila akhbar Singapura, The Straits Times dan The Singapore Free Press melaporkan tentang penahanan Datuk Bahaman dan Mat Kilau oleh pemerintah Siam.

Laporan The Singapore Free Press pada 21 Oktober 1895. Imej dari National Library Board Singapore.

Dilaporkan ketika ditangkap, Mat Kilau cedera di muka dan kepala, kemudiannya meninggal dunia dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu. Maka ketika itu, tamatlah riwayat Mat Kilau dan itulah yang dipercayai oleh orang ramai bahawa pahlawan Melayu itu telah pergi buat selama-lamanya.

Akan tetapi…

Negara digemparkan Mat Kilau ‘hidup kembali’ pada tahun 1969
Mat Kilau diusung oleh orang ramai setelah pengakuan terbukanya. Imej dari Yie’s Black.

Pada sekitar akhir tahun 1960-an, ada seorang lelaki tua berusia lebih 100 tahun tinggal di Gambang, Kuantan, Pahang dan menjadi seorang guru silat yang terkenal dengan kehandalannya. Dikenali sebagai Mat Siam, gerak geri lelaki itu mula menarik perhatian menantu Mat Kilau yang melihat diri lelaki tua itu mempunyai ciri-ciri bapa mertuanya yang dilaporkan telah meninggal dunia lebih 70 tahun lalu.

Perkara ni juga sampai ke pengetahuan cucu saudara Mat Kilau, Zainuddin Mat Ali yang seterusnya beberapa kali bertemu dengan lelaki tua berkenaan. Dari perbualannya dengan Mat Siam, Zainuddin yakin yang lelaki berkenaan tak lain dan tak bukan adalah Mat Kilau. Zainuddin pun mengajak Mat Siam balik ke kampung halamannya di Pulau Tawar dan akhirnya Mat Siam pun bersetuju.

Perkhabaran itu mula cepat tersebar, sehinggakan sampai ke pengetahuan wartawan Utusan Melayu, Alang Ahmad yang turut sama datang ke Masjid Pulau Tawar untuk mendengar pengakuan Mat Siam. Diceritakan, suasana di masjid masa tu cukup padat dan Mat Siam pun pergi ke depan masjid selepas solat Jumaat.

“Dia pun naik ke masjid… selepas itu dia bertanya kepada orang kampung tentang pokok durian dan sebagainya. Daripada itu, ia menguatkan lagi keyakinan kita yang bahawasanya, orang tua ini betul-betul Mat Kilau.” – Alang Ahmad, dipetik dari dokumentari TV3.

Maka pada 26 Disember 1969, berlakulah peristiwa yang menggemparkan suluruh Malaysia apabila seorang lelaki tua membuat pengakuan bahawa dirinya adalah Mat Kilau! Tak ada sesiapa menyangka, seorang lelaki yang selama ini dikenali sebagai Mat Siam, Mat Dadu dan Mat Dahan itu adalah pahlawan Pahang. Ia seolah-olah mengatakan Mat Kilau ‘hidup kembali’!

Laporan Berita Harian pada 29 Disember 1969. Imej dari National Library Board Singapore.

Rentetan pengakuan itu, kerajaan negeri Pahang menubuhkan Jawatankuasa Menyiasat Munculnya Mat Kilau pada 8 Januari 1970. Berdasarkan siasatan jawatankuasa itu, didapati yang Mat Kilau selama ini telah hidup dengan pelbagai nama samaran dan berpindah randah dari sekitar negeri Kelantan, Terenganu dan Pahang.

Malah, nama dalam kad mengenalannya – didaftarkan sebagai Muhammad bin Ibrahim. Selepas pengakuannya tersebut, ramailah pihak yang dah dipanggil untuk mengecam dan mengesahkan sama ada betul atau tak Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Antaranya adalah rakan seperjuangannya seperti Mat Kelantan (berusia sekitar 90 tahun), Raja Ibrahim Tan Kechik dan Mek Munah (97 tahun).

Maka pada 6 Ogos 1970, jawatankuasa pun mengisytiharkan bahawa lelaki tua yang dikenali sebagai Mat Siam itu adalah pahlawan Pahang, Mat Kilau. Walaupun begitu, keputusan jawatankuasa itu masih lagi dipertikaikan apabila…

Ada ahli sejarah yang masih belum diyakinkan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau
Laporan akhbar ketika penyiasatan terhadap Mat Siam dijalankan. Imej dari TV3.

Sebenarnya, ketika Mat Siam membuat pengakuan bahawa dirinya Mat Kilau, terdapat beberapa sejarawan tempatan yang agak meraguinya dan orang itu termasuklah oleh Sejarawan Negara, Prof Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (mendiang) yang ketika itu berkhidmat di Jabatan Sejarah Universiti Malaya. Ini kerana, bagi Prof Khoo –ada kesilapan yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab selepas Mat Siam mengumumkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Ini kerana, Mat Siam selepas itu seharusnya diasingkan supaya penyiasatan dapat dijalankan dengan lebih teliti. Malangnya, terlalu ramai orang yang dibenarkan menemuramah Mat Siam sejak sebelum penyiasatan rasmi dijalankan.

Selain itu, wujud juga pro dan kontra tentang bukti-bukti yang mengatakan Mat Siam itu Mat Kilau. Antaranya adalah apabila ditunjuk gambar Tok Gajah bersama enam orang lagi (Tok Bahaman, Tok Bandar Jidin, Tok Raja, Sultan Ahmad, Tengku Mahmud dan J.P Rodger), Mat Siam dapat menunjukkan gambar ayahnya dengan Tok Bahaman. Tapi…

“…ini sebenarnya bukan bukti yang konkrit kerana bukan Mat Kilau seorang sahaja yang pernah melihat Tok Gajah dan Tok Bahaman. Seorang pengiring Tok Gajah atau Tok Bahaman pun tentu dapat mengecamkan gambar-gambar itu sekiranya ia masih hidup.” – Dipetik dari Berita Harian 29 Mac 1970.

Penulisan Prof Khoo Kay Kim di Berita Harian pada 2 Mac 1970. Imej dari pancapersada.blogspot

Tentang pengesahan oleh beberapa orang tua yang telah lanjut usianya bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau, ia dianggap sebagai tak berapa kukuh untuk disandarkan. Mengambil contoh Mek Munah yang hanya berumur belasan tahun masa bertemu dengan Mat Kilau, ia dianggap agak mustahil untuk dia mengecam Mat Kilau sedangkan dirinya sendiri ketika itu sudah menjangkau usia sekitar 90 tahun.

Tambah Prof Khoo lagi, Mat Siam pernah mengatakan yang ketika beliau dikatakan mati pada 1895, mayatnya diganti dengan batang pisang oleh Sultan Muhammad Mulut Merah, Kelantan. Tapi…

“…Sultan itu yang sebenarnya seorang pemerintah yang termasyhur, telah mangkat pada tahun 1886. Soalannya, bagaimana Mat Siam boleh membuat kesilapan besar itu kalau beliau itu sebenarnya Mat Kilau? – Dipetik dari Berita Harian 29 Mac 1970.

Dalam masa sama, Mat Siam juga dikatakan pernah tinggal di Kampung Ayer Hitam, Pekan (1928-1932) dan tinggal berdekatan dengan rumah Nobah Khatib Bahrin, sepupu Mat Kilau yang berundur bersamanya semasa perang Tok Gajah. Namun begitu, menurut Haji Muhammad Abdullah (cucu saudara Tok Gajah), mereka berdua tak pernah kenal mengenal antara satu sama lain sedangkan tinggal berdekatan. Malah…

“Bila Teh Ibrahim, Yang Kechil dan lain-lain lagi balik ke Pahang dari Siam dan singgah beberapa waktu di Pekan, semua mereka pergi menziarah Nobah dan menemuinya dengan segala ratap dan tangis. Orang-orang itu menceritakan bahawa Mat Kilau telah binasa dan kecundang di Kelantan.” – Cerita Haji Muhammad Abdullah, Berita Harian 29 Mac 1970.

Selain seorang sejarawan, Prof Khoo juga seorang pengkritik sukan. Klik sini untuk baca temubual SOSCILI dengan Prof Khoo. Imej dari NST.

Disebabkan faktor-faktor ini, Prof Khoo masih ‘belum diyakinkan’ yang Mat Siam itu adalah Mat Kilau.

Sumber:SosCili