Lelaki belasah warga emas ditahan, mangsa bengkak mata & kepala


Lelaki yang dipercayai bertindak membelasah seorang warga emas dalam kejadian berhampiran jejantas di Padang Jawa, Shah Alam sekitar 12 tengah hari tadi sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia 61 tahun tampil membuat laporan polis jam 2 petang tadi.

“Hasil siasatan, mangsa memandu bersama isteri serta cucu untuk ke Putrajaya dan ketika sedang membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue (Seksyen 16)…
“…suspek yang menaiki motosikal Yamaha Y15 berada di sebelah kiri kereta menjerit dan memarahi mangsa.
“Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada perlanggaran bagaimanapun selepas dia keluar dari kereta, suspek terus menendang mangsa di dada kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa mendakwa suspek yang berusia 23 tahun itu duduk atas badannya dan menumbuk muka serta kepala bertubi-tubi sehingga dia mengalami bengkak bawah mata, kepala serta sakit bahagian rusuk.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman esok.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan lelaki warga emas terbaring akibat dipukul lelaki yang memakai topi keledar di tengah jalan sambil disaksikan orang ramai.

Sumber: Facebook IPD Shah Alam , Twitter @ikmalikram10