Bekas Rektor UIAM meninggal dunia


BEKAS Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Hamid A. Abu Sulayman, 85, meninggal dunia di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi, semalam.

UIAM dalam kenyataan memaklumkan, beliau yang merupakan Rektor UIAM kedua selama 10 tahun dari tahun 1988 sehingga 1998 meninggal dunia kerana sakit tua.

Menurut UIAM, Abdul Hamid yang dilahirkan di Mekah, Arab Saudi pada tahun 1936 telah dianugerahkan Doktor Falsafah Kehormat dalam Pendidikan daripada universiti tersebut pada tahun 2008.

“Sepanjang tempoh sedekad Allahyarham menjadi Rektor UIAM, beliau banyak terlibat dalam pembangunan akademik dan perkembangan kampus serta menjalinkan kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka di dunia.

“Allahyarham juga banyak menghasilkan jurnal-jurnal dan penerbitan buku ilmiah,” kata universiti itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden UIAM, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pemergian Allahyarham Abdul Hamid adalah satu kehilangan besar kepada universiti tersebut.

Ini kerana, kata beliau, Allahyarham telah memberikan sepenuh jiwanya dalam membangunkan dunia akademik dan membangunkan UIAM dalam acuannya sehingga universiti menempa nama di peringkat antarabangsa.

“Allahyarham adalah seorang pemimpin yang berkaliber, beliau dianggap sebagai seorang bapa, pemikir, sarjana dan seorang yang suka bekerja dalam satu pasukan di dalam organisasi.

“Allahyarham juga mudah didekati dan banyak memberikan nasihat. Bagi pihak UIAM juga, saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” jelas beliau.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pula berpendapat UIAM telah kehilangan seorang pemimpin dan guru yang sangat dedikasi dalam menjalankan urusan pentadbiran serta bidang akademik dan kesarjanaan.

“Kami seluruh warga UIAM merasa amat sedih dengan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, semestinya pemergian Allahyarham banyak memberikan kesan kepada alumni, kakitangan dan pelajar UIAM.

“Sepanjang kepemimpinan beliau, Allahyarham telah banyak meninggalkan legasi kepemimpinan dan kini ia diteruskan,” katanya.