Warga emas meninggal dunia selepas dicakar, dijilat kucing peliharaan
Warga emas meninggal dunia selepas dicakar, dijilat kucing peliharaan
Doktor menegaskan bahaya jangkitan bakteria pada luka yang terbuka akibat dijilat haiwan peliharaan. -Gambar hiasan/Unsplash
MELBOURNE: Seorang wanita warga emas meninggal dunia dipercayai akibat dicakar kucing peliharaannya sendiri.
Menurut laporan Herald Sun, warga Australia berusia 80 tahun berkenaan dicakar kucingnya “Minty” sebelum haiwan tersebut bertindak menjilat luka pada wanita itu.
Keluarga wanita berkenaan menemui warga emas terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital di Melbourne.
Wanita itu bagaimanapun meninggal dunia seminggu kemudian akibat jangkitan.
“Ini adalah masalah besar dan kini semakin kerap berlaku jangkitan tidak diketahui pada bahagian injap jantung hingga membawa maut jika tidak dirawat,” kata Lindsay Grayson, Pengarah Penyakit Berjangkit di Pusat Kesihatan Austin, Melbourne.
Grayson memberi amaran mengenai bahaya jangkitan bakteria pada luka yang terbuka akibat dijilat oleh haiwan peliharaan.
Katanya, pemilik kucing perlu segera mendapatkan rawatan jika dicakar atau digigit oleh haiwan peliharaan.
“Sekurang-kurangnya satu kes jangkitan seperti yang berlaku ke atas wanita ini dilaporkan di hospital dalam tempoh seminggu,” katanya.
sumber: astroawani